Kelebihan dan kelemahan Kartrij_ROM

Kartrij permainan arked Neo Geo berukuran 7.5 inci (190 mm) x 5.34 inci (136 mm)

Kelebihan utama kartrij berbanding pendekatan lain ialah prestasi masa capaian yang mencukupi bagi membenarkan pelaksanaan terus dari ROM — ROM tersebut biasanya akan dipetakan ingatannya ke ruang alamat biasa sistem, maka ia boleh dibaca seperti ingatan biasa. Ia bukan sahaja membolehkan masa muatan serta-merta bagi kebanyakan permainan memandangkan pelaksanaan kod boleh bermula terus dari ROM malah ia kurang menggunakan RAM fizikal, memandangkan data sudah tersedia di dalam ROM tanpa perlu menyalinnya dari media yang lebih lambat seperti cakera liut, cakera keras, atau CD-ROM. Kelemahan utamanya pula ialah kos yang tinggi; faktor ini menjadi isu dalam konsol permainan video moden; pengeluar mengorbankan masa muatan kepada CD yang lebih murah serta berkapasiti tinggi semasa pertengahan 1990an.[2][3]

Kartrij ROM menampilkan bentuk perumah perisian yang kukuh serta tahan rosak. Walau bagaimanapun, sungguhpun ia lebih mudah dijaga berbanding CD, yang boleh calar, atau pita, yang boleh ditarik keluar, cip di dalam kartrij boleh dirosakkan oleh gegaran yang cukup kuat, terutamanya apabila perumah tidak berupaya untuk memastikan cip tersebut stabil. Sesentuh yang terdedah boleh dirosakkan oleh pengumpulan bendasing, kerosakan atau kehausan. Kartrij ROM tidak terjejas akibat kotoran dan habuk pada sesentuh kartrij. Hasilnya, penyelesaian termudah ialah dengan hanya meniup bahagian slot kartrij.[4] Ia boleh menyelesaikan isu tersumbat yang mudah. Namun demikian, cara ini juga boleh merosakkan kartrij dalam jangka masa panjang, kerana kelembapan dari nafas manusia boleh mengakis penyambung.[petikan diperlukan] Penyelesaian yang lebih baik ialah dengan menggunakan larutan isopropil alkohol untuk membersihkan sesentuh tanpa risiko kakisan.[5]

Selain itu, tiada piawaian rasmi bagi faktor bentuk. Sementara siri PlayStation dan Xbox merupakan format berbeza (mengikut cara arahan permainan dan data diformatkan pada media), mereka masih menggunakan cakera CD/DVD, membolehkan bekas menyimpan yang boleh dikenali, risalah, dsb. Rekaan kartrij ROM dipelbagaikan, dan kartrij yang direka untuk satu sistem jarang boleh digunakan oleh orang lain — jualan permainan dalam satu pakej bagi pelbagai sistem adalah jarang.

Satu lagi kelebihan ialah kemungkinan untuk menyertakan penambahan ingatan atau perkakasan luaran lain. Contoh termasuklah penyertaan cip Super FX dalam beberapa permainan Super Nintendo Entertainment System, serta modul suara dan catur di Magnavox Odyssey².